Ingin saya kongsikan kisah yang dibaca dari majalah Solusi isu 48.
Seorang ayah yang mempunyai tiga orang anak bekerja keras untuk mengubah nasib keluarganya. Sekadar bekerja kilang tidak memadai untuk menanggung keperluan keluarga. Si ayah mengambil keputusan untuk menyambung pengajian ke peringkat diploma.
Kesannya, si ayah bekerja pada waktu siang dan menghadiri kelas pada waktu malam. Hari cuti minggu juga digunakan sepenuhnya untuk mengulangkaji. Isteri dan anak-anaknya merungut kerana ayah mereka tiada masa untuk bersama-sama mereka.
Walaupun kini telah menjawat jawatan sebagai penyelia, si ayah terus mendaftar untuk menyambung pengajian di peringkat sarjana muda bidang pengurusan pula. Si ayah terus sibuk termasuk pada cuti hujung minggu dengan pelbagai tugasan akademik atau kebanyakan masa dihabiskan di perpustakaan.
"Abang, carilah masa untuk anak-anak kita juga. Kasihan mereka, tidak dapat merasai kasih sayang abang," nasihat si isteri kepada suaminya. "Abang lakukan semua ini demi keluarga kita juga agar suatu hari nanti kita hidup selesa dan mewah. Abang memang ingin peruntukan masa untuk keluarga, tetapi buat masa sekarang abang masih sibuk lagi."
Setelah bertungkus lumus, si ayah kini berhasil menggenggam ijazah tersebut. Apa lagi, dia terus ditawarkan jawatan sebagai penolong pengurus. Gajinya dua kali ganda daripada sebelumnya. Dari rumah pangsapuri sempit, mereka kini berpindah ke rumah teres sederhana besar. Hidupnya kini lebih selesa dan mampu menunaikan segala keperluan material isteri dan anak-anak. Tidak cukup dengan itu, si ayah terus bekerja keras di samping menyambung lagi pengajian ke peringkat zarjana pula. Dua tahun kemudian, ijazah sarjana sudah berada dalam genggaman.
"Abang memang mahu peruntukan masa untuk isteri dan anak-anak, tetapi abang sibuk sekarang. Abang lakukan semua ini pun untuk keluarga kita." Itulah alasan yang sering diberikan. Setiap cuti hujung minggu digunakan samada untuk klien, menghadiri kursus, menghadiri mesyuarat di luar dan pelbagai urusan lagi.
Akhirnya, dia berjaya mencapai segala apa yang dihajatinya. Dia berkata kepada anak-anak dan isterinya di rumah baru mereka, banglo mewah di atas bukit:
"Ayah dah buat keputusan akan berhenti mengejar kerjaya dan kemewahan kerana ayah telah berjaya mendapatkan segala yang ayah hajati. Jadi mulai hari ini, ayah akan habiskan masa bersama-sama keluarga."
Keesokannya, si ayah didapati meninggal dunia dalam tidur disebabkan serangan jantung.
Pengajaran: Tidak salah sibuk mengejar ilmu dan harta dunia, namun pastikan juga aspek kerohanian dan kekeluargaan tidak terpinggir. Jangan terlambat kerana mati datang secara tiba-tiba.
No comments:
Post a Comment